Saban hari aku teringatkan masa lampauku. Bila kita kenangkan kembali masa lalu, banyak yang telah kita perolehi. Kenangan silam, suka duka, pahit merit, tawa riang, semua kita rasai bersama. Saat kita bertemu, bersua muka, bergelak ketawa dan berduka lara, kita sama merasa. Pabila ku bayangkan saat-saat itu menjelma kembali, aku dapat rasakan keriangan di dalam hati. Namun, hatiku syahdu mengingatinya. Ada kalanya juga hati menangis sendirian. Tiada siapa pun tahu. Banyak kenangan yang aku rasai dahulu aku hanya bukukan dalam lubuk hati kudusku. Aku bukannya seorang yang cukup membanggakan diri sendiri. Bukannya seorang yang bermegah dengan kemampuan diri. Hakikatnya persoalannya, mengapakah kita harus membanggakan diri kita sendiri? Tidak cukupkah dengan hanya bersujud syukur kepada-Nya? Menuruti perintahnya? Tidak melanggari arahan atau mematuhi segala suruhan-Nya? Bersedekah dengan harta kurniaan-Nya? Mengapa? Kenapa? Sebab apa?
Mungkin semua menyedari hakikat itu. Tetapi tetap tidak sesekali menghiraukannya. Hanya insan yang faham erti kehidupan sahaja mengerti akan maksudnya. Walhal, insan yang sedari hakikat itu tetapi tidak mengambil peduli merasakan, dengan cara itu, mereka dapat menunjukkan kepada dunia bahawa merekalah yang berjaya! Merekalah yang bertuah! Dan merekalah yang paling dikagumi semua!
Aku, hanyalah seorang insan lemah, yang sering melakukan kesilapan dan dosa. Aku malu, malu untuk mendedahkan pekung didada, sopak diwajah, luka dianggota, walaupun hanya aku sahaja yang merasainya. Aku tidak inginkan simpati! Kasihan! Sedekah! Nasihat! daripada sesama insan sendiri! Apa yang aku tahu, semuanya hanyalah dusta semata! Aku tidak mempercayainya! Tidak pernah sesekali! Semuanya dusta belaka! Pembohong! Penipu! Tetapi, hanya satu sahaja yang akan mengubahnya, iaitu KEIKHLASAN! Hanya itu sahajalah yang dapat merawati luka yang tercalar dilubuk hatiku.
Keikhlasan sebenarnya tidaklah perlu untuk dipertontonkan. Tidak perlu didedahkan. Hanya dengan kata-kata dan perbuatan yang mudah sahaja kita dapat mentafsirkan keikhlasan itu. Keikhlasan yang tidak semua miliki (walhal, aku sudah tidak percayai lagi keikhlasan itu wujud pada insan yang berharga dalam hidupku lagi). Pelbagai kasihan, simpati dan nasihat telahku terima, tetapi mengapa tidak langsung meninggalkan kesan dalam hatiku? Seolah-olah hanya jasadku sahaja yang menerimanya. Rohku, jiwaku, isi hatiku tetap sama. Aku sudah lali dengan semuanya. Aku terima sahaja ‘membabi buta’, tetapi tidak pernah melekat dijiwa.
Hakikat sebenarnya (aku melakarkan warkah yang tidak seberapa ini), hanya inginkan kehalusan jiwaku tidak disalahtafsirkan. Hakikatnya juga, aku mencoret kerana aku begitu kecewa dan berkecil hati. Aku sudah tidak tahu lagi ke mana harusku luahkan semuanya. Aku bukannya tidak mempercayai makhluk yang bergelar manusia ini untuk mendengarnya, cuma aku sudah tidak percayai lagi dengan mainan perasaan, seloka manusia, lakonan pentas dunia. aku akan hanya menguncinya di dalam lubuk hatiku selamanya. Kerana, aku lebih percayakan jiwaku daripada makhluk bergelar manusia itu.
Perindu Sepi....
Jun 11, 2009 10.41 malam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan