Selasa, 3 Ogos 2010

"Pelajar Gaduh & Bertumbuk Dengan Cikgu.. "




Jika di amati akan video yang hangat diperkatakan ini, suka saya ingin memperjelaskan seba sedikit tentang situasi yang berlaku. Situasi yang menunjukkan tentang kurangnya ilmu psikologi dan kaunseling dalam mnghadapi pelajar bermasalah. Jika dilihat pada pelajar itu sendiri, pelajar berkenaan sudah terlalu bersabar dengan tindakan guru berkenaan. Hal ini boleh dilihat pada dada pelajar berkenaan yang dengan kencangnya menunjukkan tahap kesabaran telah hampir-hampir meletus. Jika dilayan, sememangnya guru terbabit mengundang padah. Jiwa muda jika dicabar, seolah-olah mencurahkan minyak petrol ke api yang sedang membara atau menambah kayu api pada unggun yang sedang membakar. Tangan pelajar terbabit juga kedua-duanya menggenggam erat seakan-akan menanti untuk hinggap ke wajah guru berkenaan.

Pelajar berkenaan juga jika kita amati dan hayati perbulana mereka, pada masa yang sama meluahkan perasaannya kepada guru berkenaan. Cuba kita minit ke 0:14 hingga 0:23. Pelajar berkenaan ada mengatakan bahawa guru terbabit tidak mendapatkan penjelasan telebih dahulu mengenai apa yang sedang berlaku, tetapi tidak diendahkan. Pelajar juga ada mengatakan yang guru terbabit tidak bertanyakan terlebih dahulu menganai perasaan pelajar terbabit. Guru sepatutnya menyelami perasaan dan jiwa para pelajar sekiranya ingin mencari penyelesaian. Sekarang bukanlah lagi zaman guru berotan berkuasa penuh keatas pelajar. Guru sepatutnya didedahkan dengan ilmu kaunseling di mana, guru perlu menyelami perasaan pelajar dalam mencari punca permasalahan yang berlaku dan mendapatkan kaedah penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Sekiranya pelajar terbabit merupakan seorang pelajar yang kurang ajar, sepatutnya situasi ini bukan begini, tetapi bermula dengan pergaduhan antara keduanya- Cuba kita fikirkan, pelajar terbabit sudah tahu akan dikenakan tindakan kerana telah berlaku kurang ajar pada gurunya, tetapi kenapa pelajar itu lebih rela bertegang leher?! Dapatkah kita kenalpasti? Dapatkah anda fahami maksud penulis?!! Kita boleh jangkakan yang pelajar terbabit meluahkan perasaannya, dan bukannya semata-mata mencari gaduh. Jikalau situasi ini menunjukkan tentang kekurang ajaran pelajar terbabit, sudah tentu situasinya hanyalah pergaduhan dan bertumbuk sesama mereka. Pelajar itu ingin guru terbabit mendengar kata-kata mereka atau lebih jelas menyelami perasaan mereka....

Dan juga jika benarlah pelajar itu terlalu marahkan guru dan berniat untuk membalasah guru itu, mengapa semasa guru lain yang cuba meleraikan mereka berdua itu tidak ditepis pelajar itu. Sikap seorang pemarah adalah sekiranya dia cuba dileraikan, maka dia akan sedaya upaya akan menepis atau menolak leraian itu. Dalam situasi ini, pelajar itu tidak menepis tangan guru berbaju putih itu, malah membiarkan guru itu menyejukkan hatinya yang sedang marah dengan membiarkan guru itu mengusap-usap atau menggosok-gosok badan pelajar. Dengan kaedah ini, hati seseorang yang sedang marah boleh berkurangan. Tetapi hatinya juga tidak dapat mengurangkan rasa marah sehinggakan pada akhirnya pertumbukan berlaku.

Dan pelajar itu juga tidak sepatutnya melawan balik apa yang diperkatakan oleh guru itu. Memang dikatakan kurang ajar sekiranya perkara itu berlaku. Kita telah diajar untuk menghormati ibu bapa, orang tua, guru-guru dan sesama manusia. Pelajar itu tidak mengambil iktibar tentang tujuan kita menghormati golongan-golongan ini.

Guru yang lain juga tidak sepatutnya menjadikan situasi ini sebagai hiburan dengan cara merakam pertelingkahan ini. Guru yang merakam situasi ini perlu berasa malu akan dirinya sendiri kerana bertindak merakam sesuatu yang akan memalukan banyak pihak walhal disebarkan secara meluas.

Tuntasnya, semua pihak harus ambil ikhtibar mengenai perkara ini. Guru juga harus pandai mengambil hati pelajar mereka. Bukan mengikut telunjuk atau takut kepada pelajarnya, tetapi menggunakan pendekatan psikologi iaitu mencari punca permasalahan pelajar dan bersama mengatasinya. Pelajar lahirnya ingin mendapatkan perhatian. Kemesraan antara guru dan pelajar perlu ada. Perlu ada hubungan guru dengan pelajar seperti seperti adik beradik, tetapi juga perlu ada batas juga bagi membezakan antara guru dan pelajar.

Pelajar juga harus menghormati guru mereka sebagai pendorong kepada mencapai kejayaan di masa akan datang. Guru adalah pembimbing ke arah kejayaan hidup. Kita adalah hasil didikan guru kita. Siapa kita, itulah guru kita. Bergurulah dengan guru yang mempunyai sikap yang baik dan memahami hati dan perasaan. Rasailah kemanisan hidup sebagai seorang pelajar. Saat-saat indah ini tidak akan kembali lagi jika kita telah meninggalkannya. Apa yang kita lakukan sekarang, adalah cerminan masa depan kita. Baik kita sekarang, sempurnalah kita di masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan