Khamis, 2 Julai 2009

tErBeLakAh nAsiB mErEkA.....

'Di mana kami akan berlindung'



SHARIFAH (kanan) bersama penghuni Rumah Titian Kaseh.


KUALA LUMPUR: "Kami berserah kepada Allah dan berharap ada rezeki kami semua yang berada di pusat perlindungan ini," demikian luahan Penyelia Rumah Titian Kaseh (RTK), Sharifah Adlan, 53, yang buntu memikirkan nasib penghuni rumah perlindungan itu terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) selepas banglo setingkat yang disewanya untuk tujuan itu bakal diambil semula pemiliknya hujung bulan ini.

Katanya, apa yang beliau difahamkan oleh pemiliknya, rumah berkenaan yang disewa RM5,000 sebulan, sejak lima bulan lalu akan dijual.

“Sejak berita mengenai pemilik ingin mengambil balik rumah ini, kami yang berada di sini, tidak tidur malam kerana risau memikirkan di mana kami akan tinggal selepas ini.

“Kami tiada wang untuk membelinya apatah lagi harga yang dimaklumkan mencecah RM2.7 juta. Tiada siapa yang tampil untuk membantu mencari tempat baru menempatkan mereka ini,” katanya ketika ditemui semalam.

RTK yang ditubuhkan pada 1998, berfungsi sebagai pusat penjagaan ibu tunggal dan anak yatim dan pada awalnya bertapak di Gombak. Selepas beroperasi hampir 11 tahun ia berpindah di Lorong Maran, Taman Tasik Titiwangsa, dekat sini.

Jumlah penghuninya ialah 85 orang terdiri daripada bayi berumur dua bulan hingga ke warga emas berumur 70 tahun yang berlindung di dua buah rumah yang disewa dan terletak berhampiran antara satu sama lain di kawasan berkenaan.

Sejak ditubuhkan, kira-kira 400 orang mendapat perlindungan dari RTK dan manfaat daripadanya.

Sharifah atau mesra dipanggil Mak Pah berkata, RTK tidak pernah ditawarkan dana bagi menyediakan rumah atau bangunan yang khusus untuk menempatkan penghuninya secara tetap.

“Semua kemudahan penghuni disediakan sendiri selain bantuan daripada individu dan syarikat swasta yang sudi menjenguk penghuni di sini.

“Mujurlah baru-baru ini ada pihak sudi mendermakan RM30,000 kepada RTK untuk digunakan bagi menyediakan keperluan asas penghuni di sini,” katanya yang mempunyai tiga anak perempuan dan menetap di tempat sama.

Pada pertemuan itu, kelihatan beberapa penghuni sibuk memilih dan mengasingkan pakaian yang didermakan oleh Kedutaan Arab Saudi untuk diberikan kepada ibu-ibu tunggal dan difahamkan selebihnya akan dijual untuk menjana pendapatan bagi keperluan penghuni rumah itu.

Ketika ditanya mengenai cabaran mewujudkan rumah perlindungan seperti ini, bekas bidan itu berkata, beliau sangat terkilan apabila ada pihak menggunakan RTK untuk mengutip derma demi kepentingan peribadi.

“Tidak dinafikan wujud kes seperti ini di mana ada pihak tidak bertanggungjawab menjaja nama RTK yang kononnya untuk dimasukkan ke dalam tabung kami.

“Semua itu, bohong belaka... kami tidak meminta sedekah seperti itu kerana kami menghasilkan pelbagai produk yang dibuat ibu tunggal untuk dijual bagi memperoleh pendapatan bagi menampung kos perbelanjaan penghuni di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mak Pah di 019-6455769 atau 03-40255246.



www.bharian.com.my 3 Julai 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan